KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 15:KUMPUL MATA…. Kejayaan meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan Asia 2018 Jakarta Palembang mencetus pembakar semangat buat jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang untuk menghadapi Siri Trek Piala Dunia di Perancis dan Kanada, bulan depan.

Berikutan itu, The Pocket Rocketman kini kembali ke Melbourne untuk menjalani latihan intensif dibawah kendalian ketua jurulatih John Beasley bagi memastikan dia bersedia untuk menghadapi perlumbaan yang menjadi sebahagian medan mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pada masa sama, Azizul perlu duduk dan mengadakan perbincangan dengan Beasley bagi menilai kembali tahap keupayaannya dan meneliti setiap kelemahannya sekali gus membantunya kembali memberi saingan kepada pelumba ternama dunia.

“Setakat ini saya akan turun beraksi dalam dua acara iaitu keirin dan pecut, manakala untuk acara pecut berpasukan masih dalam perbincangan dan belum diputuskan oleh jurulatih.

“Walau apa pun saya kena berlatih bersungguh-sungguh dan menang podium sekali gus membantu saya mengutip mata pertama untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Malaysia dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk meraih mata pertama ke Olimpik Tokyo 2020 apabila Azizul dan rakannya turun beraksi pada kejohanan Siri Piala Dunia bermula di Paris dan Kanada (Oktober), diikuti Berlin dan London (November), New Zealand dan Hong Kong (Januari) serta Kejohanan Asia di Jakarta.-MY WD