KUALA LUMPUR,OKTOBER 23: TOKYO… Selepas meraih tiga emas dan satu perak acara lumba basikal trek dan lebuh raya tandem di Sukan Para Asia 2018, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais serta jurumudi, Nurul Shuhada Zainal, kini memasang impian mencipta gemilang di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Berikutan itu, Nur Azlia dan Nurul Shuhada meletakkan sasaran mengumpul sebanyak mungkin mata sepanjang tahun depan untuk layak secara merit ke temasya di Tokyo.

Pada masa sama, Nur Azlia juga mengintai peluang untuk mengulangi kejayaan merangkul emas jika terpilih mewakili negara ke Sukan Para ASEAN 2019 di Manila, Filipina.

“Kami hanya meletakkan sasaran untuk menang hanya satu pingat emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018 bulan lalu. Tak sangka pula kami berjaya meraih tiga emas dan satu perak kerana kami baharu sahaja digandingkan kurang enam bulan lalu.

“Jadi, saya amat berterima kasih kepada semua pihak terutama jurulatih kerana banyak memberikan sokongan kepada kami untuk melakukan terbaik di Jakarta.

“Kejayaan ini membakar semangat dan motivasi kami untuk terus berusaha memburu pingat emas di Sukan Para ASEAN Manila 2019 dan Sukan Paralimpik 2020 nanti,” katanya.

Gandingan itu mencatat sejarah tersendiri ketika temasya di Jakarta, apabila meraih pingat emas ketiga, selepas menjuarai acara ujian masa 1KM tandem wanita B, pada 13 Oktober lalu.

Mereka merakam masa 1:16.839s untuk meninggalkan pemenang perak dari Indonesia, Sri Sugiyanti (1:17.717s) dan rakan senegara, Nur Syahida Tajudin serta jurumudi, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi (1:18.795) untuk gangsa.

Sebelum itu, Nur Azlia dan Shuhada meraih dua pingat emas menerusi acara lebuh raya tandem dan kejar mengejar individu 3,000 meter (3KM) Wanita B.-MY WD