SEREMBAN, 9 APRIL – TIDAK TUBUHKAN… Pihak Kerajaan PH tidak akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) seperti didesak Pemuda UMNO bagi menyiasat dakwaan berlaku salah laku yang berlaku dalam pengurusan Tabung Haji (TH).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Pemuda UMNO sepatutnya meminta kerajaan terdahulu menyiasat perkara itu dan bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya hairan kenapa Pemuda UMNO tidak cadang (penubuhan RCI) masa memerintah pada tahun 2018 selepas TH mendapat teguran daripada Bank Negara.

“Kenapa masa itu enggan bersuara dan kenapa sekarang tampil nak jadi juara?” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum Pakatan Harapan (PH) di Taman Pasir Mas, Rantau malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Pemuda UMNO yang mendesak supaya kerajaan menubuhkan segera RCI bagi menyiasat segala dakwaan dan salah laku yang berlaku di dalam pengurusan TH.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, kerajaan ketika ini sedang berusaha berterus terang kepada pendeposit berkenaan masalah yang sedang melanda institusi itu.

Katanya, ini kerana tindakan pengurusan TH beberapa tahun lalu yang membayar dividen walaupun aset kurang daripada liabiliti bertentangan dengan enakmen dan akta institusi itu.

“Dividen sepatutnya dibayar jika syarikat dapat keuntungan tapi pengurusan TH tetap bayar dalam keadaan alami kemerosotan nilai aset.

“Apa yang berlaku mungkin dividen dibayar menggunakan wang pendeposit,” katanya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, seperti dimaklumkan sebelum ini, semua pendeposit TH dijamin sepenuhnya oleh kerajaan namun dividen kali ini tidak mampu dibayar lebih akibat masalah yang dialami.

Sementara itu apabila diminta mengulas mengenai fokus Kertas Putih FELDA yang akan dibentangkan Rabu ini katanya, ia bertujuan untuk menjamin masa depan peneroka FELDA bagi jangka masa panjang.

Katanya, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju mengambil langkah untuk memperkukuhkan kewangan FELDA.

Berkenaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), beliau berkata ketika ini ia masih di peringkat perbincangan untuk mengurangkan kos dan mengubah jajaran. – WD MY