SHAH ALAM, MAC 23:AZMIN…Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya mengakui wujud krisis air bersih terawat di Selangor tanpa perlu memutar belit fakta untuk menjelaskan perkara berkenaan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata walaupun simpanan air di semua empangan di Selangor berada pada paras normal, itu adalah air mentah yang belum dirawat.

“Apabila bercakap mengenai krisis air yang berlaku baru-baru ini, kita membicarakan kadar simpanan air bersih terawat yang sudah diproses di loji, bukannya kadar air mentah di empangan.

“Beliau perlu akui, paras margin simpanan air bersih terawat di loji sedia ada berada pada tahap membimbangkan seperti diperincikan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau & Air (KeTTHA) serta Persatuan Air Malaysia.

“Keadaan ini berpunca daripada permintaan air bersih terawat di Selangor yang terus melonjak. Malah, Kerajaan Persekutuan sudah menjangkakannya dan bertindak mengatasinya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mat Nadzari berkata, Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) adalah manifestasi kepada usaha Kerajaan Persekutuan dalam memastikan bekalan air bersih terawat di Selangor tidak terganggu.

“Namun, sikap kerajaan negeri yang melengah-lengahkan perkara birokrasi menyebabkan ia tertangguh dan lambat untuk disiapkan.

“Ia juga berkait dengan kebimbangan Kerajaan Persekutuan yang melihat setiap kali gangguan berlaku, ia turut membabitkan ibu negara Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sekali gus boleh memberi imej tidak baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata, Mohamed Azmin perlu tampil tanpa membabitkan sentimen politik bagi sama-sama mengatasi isu air di Selangor serta menyegerakan penstrukturan air di Selangor untuk diambil alih segera oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

Katanya, Mohamed Azmin perlu akui bahawa krisis air memang berlaku apabila lebih setengah juta pengguna air di Selangor terjejas pada 6 Mac lalu, dengan terpaksa menggendong baldi dan turun naik rumah bagi mendapatkan bekalan air bersih daripada sumber alternatif.

“Seharusnya perkara ini tidak berlaku di sebuah negeri maju dan pentadbiran negeri pimpinan DAP dan PKR harus mengetepikan sentimen politik dalam hal ini,” katanya.-MY WD