KUALA LUMPUR, 17 JUN – TAMPIL….. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan memberi keterangan kepada polis esok atau lusa berkaitan siasatan video lucah yang dikaitkan dengan dirinya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, beliau akan memberi kerjasama dan polis sudah menghubungi pegawainya untuk menetapkan masa bagi membolehkan beliau memberi keterangan.

“Pejabat saya sudah dihubungi polis untuk memberi keterangan. Saya agak sibuk hari ini, akan ke Pulau Pinang petang ini. Esok saya agak lapang atau bila-bila masa jika pihak berkuasa sedia,” katanya.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Gombak ditemani isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin.

Semalam Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata pegawai penyiasat akan memanggil Azmin bagi membantu siasatan kes penyebaran rakaman video lucah.

Azmin juga menggesa Lembaga Disiplin PKR menyiasat dalang yang mewujudkan kumpulan WhatsApp semata-mata untuk menyebarkan beberapa rakaman video lucah itu.

Katanya, lembaga disiplin parti perlu membuat keputusan yang berani untuk parti dalam isu penyebaran video itu jika mahu memastikan PKR terus relevan dan diterima rakyat.

Beliau turut menggesa pucuk pimpinan parti supaya lebih bertegas untuk menyiasat kes berkenaan memandangkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah itu, mendapat sokongan segelintir pemimpin dan ahli parti.

“Jelas sekali ia sesuatu yang amat mengejutkan dan memerlukan pucuk pimpinan parti membuat keputusan yang berani untuk menyiasatnya. Saya dimaklumkan penyebaran video itu tidak dibuat menerusi Facebook dan Instagram untuk mengelak alamat protokol internet (IP) dikesan.

“Mereka sebarkan menerusi kumpulan WhatsApp yang mengandungi nombor telefon ketua cabang dan pegawai rendah cabang. Saya tidak mempunyai akses terhadap maklumat ini semua.

“Persoalannya kini, siapa yang beri maklumat dan menubuhkan kumpulan sembang WhatsApp di Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Maka, pemimpin parti perlu cari penjelasan mengenainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata beliau tidak akan berehat daripada jawatannya dalam kerajaan dan parti kerana menganggap tidak terbabit dengan sebarang kesalahan berkaitan penyebaran video lucah berkenaan.

Mengulas dakwaan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha bahawa kes video berkenaan berlaku selepas bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya, dilantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamed Azmin menyifatkan ia hanya persepsi semata-mata.

Mengulas dakwaan status Twitter beliau pada 2014 pernah memetik nama Haziq Abdullah, Mohamed Azmin berkata ia satu fitnah jahat dan berepisod yang cuba dikaitkan dengan dirinya.

“Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap fitnah yang sangat kejam ini,” katanya. – WD MY