KUALA TERENGGANU, OKTOBER 2: TIDAK SETIA…Amalan membodek dan mendewa-dewakan pemimpin sebagaimana UMNO semakin menular dalam PKR sehingga mewujudkan kelompok atau yang taasub sehingga mula memberi kesan negatif kepada parti.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membayangkan gejala tidak sihat yang cuba dijauhi turut menyebabkan kesetiaannya dipersoalkan oleh sesetengah pihak makin lantang kedengaran pada musim pemilihan kini.
“Masih ada individu yang sanggup mempertikaikan kesetiaan saya. Ya, kesetiaan saya bukan pada individu, ini kerja cium tangan sahaja. ,” katanya ketika berucap dalam majlis Pidato Malaysia Baharu sempena siri jelajah menjelang pemilihan parti di sini malam semalam.
Yang hadir sama calon-calon Naib Presiden PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd. Akin di samping calon Timbalan Ketua Wanita, Dr. Daroyah Alwi.
Kata Mohamed Azmin, gejala tidak sihat itu sama sekali tidak boleh wujud dan diterapkan sebagai budaya penting dalam kalangan anggota parti yang seharusnya berpegang teguh kepada idealisme perjuangan.
“Pokoknya saya mahu anggota parti setia kepada perjuangan dan jangan taasub kepada pemimpin kerana budaya ini tidak sihat.
“Apabila kita berpegang kepada idealisme perjuangan apa pun gangguan dan cabaran yang datang kita tidak akan goyah dan lari daripada prinsip dan landasan perjuangan.
“Tetapi kalau setia kepada individu dan taasub, inilah masalah. Tidak dapat jadi calon lompat, tidak dapat itu ini, lompat,” ujarnya.
Beliau mengingatkan generasi baharu dalam PKR supaya tidak melupakan pengorbanan orang lama yang menggerakkan reformasi sehingga parti kini boleh menerajui kerajaan.
“Kita bergerak sebagai satu gerakan. Kita mahu perpaduan utuh. Kita mahu gerakan reformasi ini diteruskan tetapi pendekatan yang berbeza. Sekarang ini bukan jeritan laungan tetapi adalah pelaksanaan kata-kata,” ujarnya.-MY WD