KUALA LUMPUR, 27 April – Persoal…..Pihak Pemuda UMNO mempersoalkan mengapa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin dalam isu skandal forex.

Bagi Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun, berkata Anwar sebelum ini kerap mengaitkan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu mengenai kehilangan forex pada 1990-an.

“Kenapa Anwar kini senyap dan tidak menyentuh Dr Mahathir dan Daim? Adakah beliau (Anwar) berpendapat Tan Sri Nor Mohamed Yackop mampu menyelesaikan isu forex ketika itu, bersendirian dengan menggunakan kuasanya sebagai Pengarah Urusan Bank Negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Khairul Azwan berkata, Anwar turut mendakwa Dr Mahathir dan Daim sudah terbabit dalam aktiviti spekulatif mata wang sebelum beliau menjadi Menteri Kewangan.

Katanya, Anwar turut mendakwa dan menyalahkan Nor Mohamed kerana tidak mendedahkan jumlah kerugian mata wang negara ketika penyiasatan skandal forex berlangsung, sebelum ini.

“Jelas tindakan Anwar untuk menyelamatkan kepentingan politiknya daripada menyelesaikan kemelut skandal pertukaran mata wang asing pada 1990-an,” katanya.

Semalam, Anwar dalam satu kenyataan, mengesahkan negara kerugian antara RM15 bilion hingga RM30 bilion dalam skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Dakwa Anwar, Gabenor BNM, Tan Sri Jaafar Hussein, membuat pengakuan bahawa Nor Mohamed tidak memberi laporan tepat kepadanya dan beliau telah menerima peletakan jawatannya sebagai petugas bertanggungjawab.

Anwar berkata, masalah forex mula dikesan sekitar akhir 1991 dan awal 1992. Dari perkembangan tahun berikutnya, 1993, urusan itu masih diteruskan dengan jumlah kerugian ketika itu, dianggarkan sekitar RM9 bilion hingga RM10 bilion. – WD MY