PETALING JAYA, DISEMBER 23: KUIL…Pengerusi Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, SW Ramaji memohon maaf kepada keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kerana membuat kenyataan tidak benar berkaitan punca kecederaan anggota bomba berusia 24 tahun itu, kepada media pada 28 November lalu.

Katanya, beliau tidak berniat untuk menyakiti anggota keluarga Muhammad Adib, rakan atau pihak lain dengan mengatakan anggota bomba itu bukan mangsa serangan perusuh di kuil itu sebaliknya cedera akibat dilanggar jentera bomba.

Beliau berkata, ketika insiden menimpa Muhammad Adib kecoh diperkatakan, beliau sempat melihat rakaman video yang memaparkan sebuah jentera bomba mengundur laju ketika seorang anggota bomba berada di belakang jentera itu dan menyangka anggota itu adalah Muhammad Adib.

“Sebab itulah saya minta pihak polis masukkan hal jentera itu dalam siasatan.

“Saya tidak berniat untuk menyakiti atau mengundang kesedihan kepada keluarga Muhammad Adib, rakannya atau sesiapa sahaja.

“Sekiranya saya ada menyakiti mereka, saya tidak menyesal untuk meminta maaf kerana mereka kehilangan ahli keluarga tersayang,” katanya.

Ramaji berkata beliau di arah memohon maaf di atas kematian Muhammad Adib menerusi satu memorandum yang dihantar oleh pihak tertentu ke pejabat Perdana Menteri.

Menurutnya, dia turut berduka ketika seluruh negara berkabung di atas kematian anggota bomba itu.

“Saya juga sedih dan malu dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu. Terima kasih Adib di atas segala jasa yang diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kamu sememangnya lelaki yang baik dan saya akan sentiasa mendoakan kamu,” katanya.

Muhammad Adib cedera teruk di dada, buah pinggang, tulang rusuk serta paru-paru dan ditahan di Institut Jantung Negara (IJN) selama 22 hari sebelum meninggal dunia jam 9.41 malam, Isnin lalu.

Ramaji berkata insiden rusuhan yang berlaku di dalam dan di luar kuil itu memburukkan nama negara.

“Insiden seperti itu tidak seharusnya berlaku. Tiada sesiapa pun berhak membiarkan keadaan memalukan itu untuk terus berlaku. Saya berasa sangat menyesal perkara yang menimpa Muhammad Adib dan akan terus berdoa supaya keadilan dapat dituntut,” katanya.

Sebelum ini, sekumpulan umat Islam mengadakan protes di Putrajaya, menuntut Ramaji meminta maaf atas kenyataan yang dibuatnya.

Kumpulan protes itu juga meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan EXCO Selangor, V Ganabatirau supaya melepaskan jawatan dalam kerajaan, sekali gus bertanggungjawab terhadap insiden rusuhan yang menyebabkan kematian Muhammad Adib.-MY WD