BAGAN DATOH, 17 Dis – Isytihar….. Bagan Datoh bakal mencatat sejarah apabila
diisytiharkan secara rasmi sebagai daerah baharu di Perak bulan depan,
kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata pengisytiharan
bersejarah itu akan dilakukan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Dewan
Sekolah Menengah Sains di sini, 9 Jan depan.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta kira-kira 30,000 penduduk Bagan Datoh
supaya dapat hadir ke majlis tersebut bagi menunjukkan tanda terima kasih kepada
Sultan Perak, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Jadi perbezaan keturunan, agama, bangsa atau fahaman politik perlu
diketepikan demi kemajuan Bagan Datoh. Kita bersatu, hadir bagi memperlihatkan
semangat kita selama ini menunggu pembangunan di Bagan Datoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Timbalan Perdana
Menteri Bersama Kepimpian Masyarakat Parlimen Bagan Datoh di Wisma UMNO di
hari ini.
Bagan Datoh secara rasmi diwartakan sebagai daerah pentadbiran yang ke-12 di
Perak melalui satu warta kerajaan pada 15 Jun lalu.