BAGAN DATUK, 28 April – KOMPLEKS….. Bagan Datuk bakal menjadi pusat riadah menerusi projek Kompleks Sukan yang pertama di daerah itu bernilai RM32 juta dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Majlis pecah tanah projek itu di Batu 28,disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid dalam ucapan berkata lokasi kompleks berkenaan yang berhampiran dengan beberapa sekolah akan memberi manfaat kepada para pelajar serta penduduk setempat melakukan aktiviti bersukan selain dapat mencungkil bakat belia dalam bidang sukan.

“Ertinya kita mengambil kepedulian kepada (keperluan) murid-murid dan pelajar-pelajar sekolah di luar bandar dan anak-anak, kakitangan pejabat kerajaan berdekatan dan penduduk setempat untuk menggunakan kemudahan secara percuma ini,” katanya.

Turut hadir Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Antara komponen utama projek kompleks sukan berkenaan ialah padang bola dan balapan, astaka dan pejabat, dewan sukan serbaguna dan kafeteria, taman sukan lasak dan gelanggang terbuka. – WD MY