BAGAN DATUK, 5 Mei – HUB…… Bagan Datuk akan menjadi hab automotif terbaru di Malaysia dengan pelaburan RM500 juta dan mewujudkan 4,000 pekerjaan.

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Hub Automotif dan Kenderaan Komersil Tan Chong yang merangkumi 138.7 hektar tersebut dijangka beroperasi pada 2021.

Menurutnya, projek itu menunjukkan komitmen Kumpulan Tan Chong Motor terhadap perindustrian dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kami menjangka 10,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan di Bagan Datuk melalui semua projek terbabit, di mana 4,000 pekerjaan tersedia di hab automotif. Pengumuman kami untuk mewujudkan sebuah hab automotif di sini telah menjadi kenyataan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Hadir sama ialah Presiden Tan Chong Motor Holdings Berhad, Datuk Tan Heng Chew dan Ketua Penasihat dan Pegawai Penilai Sime Darby. Datuk Franki Anthony Dass.

Sementara itu, Tan berkata, projek itu akan bermula bulan ini selepas beberapa perkara teknikal dimuktamadkan.

Bagi Fasa 1, beliau berkata, kumpulan tersebut akan memperuntuk RM100 juta yang akan disalurkan ke arah pengambilan tanah serta pembinaan kilang bas dan trak.

“Setelah siap, kilang baru ini akan memenuhi keperluan pengeluaran bagi pasaran tempatan dan eksport.

“Faedah sampingan daripada pelaburan ini, termasuk penciptaan pekerjaan, kemasukan pelaburan baru yang berkaitan dan memacu pertumbuhan ekonomi daerah di samping memanfaatkan pertumbuhan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.

Ketika ini kumpulan berkenaan mengendalikan dua kilang pemasangan automotif, di Segambut, Kuala Lumpur, dan Serendah, Selangor, dan sebuah kilang pemasangan automotif di Vietnam dan Myanmar.

Tan Chong mengeksport bas ke Singapura, Hong Kong dan Myanmar. Ia akan terus meneroka potensi pasaran di rantau ini, termasuk Thailand, Sri Lanka, Vietnam dan Indonesia. – WD MY