IPOH, 27 Sept – BERJAYA…. Selepas kira-kira 41 jam, lori tangki dengan muatan 20,000 liter bahan kimia ‘Acetone’ yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai akhirnya berjaya diangkat dan dialihkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata lori tangki itu yang terbalik pada pukul 5 pagi Rabu lepas telah diangkat dan dialihkan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

“Lori tangki yang terbalik itu diangkat menggunakan dua buah kren sebelum ditunda keluar dari kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya dengan kejayaan mengangkat dan mengalihkan lori tangki itu, maka operasi pihak bomba di kampung tersebut ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.30 malam.

Seramai 35 anggota bomba termasuk daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) terlibat dalam operasi itu dan empat keluarga yang tinggal dalam radius 100 meter dari lokasi telah diminta mengosongkan kediaman masing-masing kerana risiko kebakaran.

Acetone merupakan cecair kimia tanpa warna, mudah meruap, mudah bakar dan sering digunakan sebagai pelarut, antaranya untuk cat serta pewarna kuku.

Pihak bomba semalam telah mengesahkan tiada bahan berbahaya dalam udara dikesan di kampung itu susulan kejadian berkenaan. – WD MY