KUALA LUMPUR, 7 Nov – Terpinggir……. Cabaran bahasa Melayu pada masa kini yang menyaksikan kedudukannya terpinggir sedikit demi sedikit menyentuh hati Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyebabkannya menangis ketika merasmikan Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, cabaran yang dihadapi bahasa Melayu itu bukan saja menyentuh emosinya, bahkan sebenarnya turut dikongsi oleh sebahagian besar orang Melayu.

“Persoalan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu perlu dibuat secara serius kerana yang akan terkena kesannya nanti adalah generasi muda sendiri.

“Usaha ini tidak boleh dibuat secara orang perseorangan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak kerana cabarannya sangat besar apabila membabitkan jati diri,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu 2016.

Mas Ermieyati berkata, penganjuran Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu boleh menjadi platform terbaik dalam memartabatkan kehebatan dan kegemilangan bangsa Melayu.

Terdahulu dalam ucapannya, Mas Ermieyati berkata, penganjuran seminar itu bertepatan dengan usaha kementeriannya untuk memperkasakan seni, budaya dan warisan berteraskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) ke arah memperkukuhkan perpaduan negara.

“Antara usaha kementerian dalam menyokong model ekonomi baharu adalah dengan membangunkan industri pelancongan negara melalui kaedah memperkenalkan beberapa konsep pelancongan seperti pelancongan ilmu atau knowledge tourism,” katanya.

Tegas Mas Ermieyati, kebudayaan kini sudah diiktiraf sebagai sumber penting yang menyumbang pembangunan pelancongan negara.

Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu 2016 yang berlangsung dua hari itu, dianjurkan oleh Pusat Manuskrip Melayu, PNM. – WD MY