KUALA LUMPUR, 2 Nov – Larang……… Penganjur perhimpunan Bersih 5.0 dan
kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan, dan berdepan
tindakan undang-undang jika berbuat demikian kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu berlaku pertembungan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tempat perhimpunan yang
dipohon penganjur Bersih atau kumpulan Baju Kuning, termasuk dalam senarai
lokasi yang tidak diizinkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 walaupun notis
mengadakan perhimpunan dipohon 10 hari sebelum acara berlangsung.
“Sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri
Mhd Amin Nordin (Abdul Aziz), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak
mengizinkan ia digunakan kerana tidak digazetkan dalam Akta Perhimpunan Aman.
“Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia memutuskan keputusan DBKL itu
harus dipatuhi dan saya nasihatkan kedua-dua kumpulan ini jangan buat sebarang
perhimpunan sebagaimana yang telah saya nyatakan di Dewan Rakyat hari ini,”
katanya kepada media.

Perhimpunan kumpulan Baju Merah dirancang Sabtu ini di Dataran Merdeka
manakala perhimpunan Bersih 5.0 pada 19 Nov.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada persidangan Dewan Rakyat, Ahmad Zahid
berkata KDN tidak tidak mempunyai apa-apa hubungan atau menjanjikan sebarang
perlindungan dengan mana-mana kumpulan baik Bersih atau Baju Merah.
Beliau menegaskan polis akan bertindak tegas terhadap kedua-dua kumpulan itu
atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang atau prosedur yang ditetapkan.
“Yang Berhormat Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin) dan Yang Berhormat
Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh) ada bertanya kepada saya sama ada KDN ada
hubungan dengan kumpulan Baju Merah dan meminta jaminan adakah kumpulan Baju
Merah akan menghentikan aktiviti (perhimpunan) mereka jika Bersih juga berbuat
demikian.
“Di sini saya ingin tegaskan bahawa KDN tiada apa-apa hubungan, perlindungan
atau sebarang janji dengan mana-mana kumpulan sama ada Bersih atau kumpulan
Baju Merah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata sehingga Oktober lalu, 175 laporan polis telah diterima
dari seluruh negara berhubung penganjuran Bersih 5.0.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, beliau berkata siasatan dibuat
berdasarkan kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman atau
undang-undang lain.
Ahmad Zahid berkata beberapa laporan lagi diterima mengenai ketua kumpulan
Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.
“Saya ingin menyatakan bahawa jika tidak ada kuning pasti tidak ada merah,
jika tidak ada Maria Chin (pengerusi Bersih 2.0) pasti tidak ada Jamal Yunos.
“Jadi saya minta semua pihak merah atau kuning mencari platform terbaik
untuk mencari penyelesaian berbanding mengadakan perhimpunan,” katanya.
Dalam isu Bersih dan Baju Merah, beliau berkata KDN menggesa semua pihak
menjunjung kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa ketika ini.
“Kita tidak seharusnya bersandarkan dasar memperjuangkan sesuatu demi
kepentingan negara atau untuk menegakkan keadilan, tetapi dalam masa yang sama
kita sendiri mengingkari dan membelakangkan undang-undang yang digubal oleh
Parlimen,” katanya. – WD MY