SERI MANJUNG, 15 Julai – Cetuskan….. ┬áBarisan kepemimpinan baharu pakatan pembangkang bakal mencetuskan perebutan kuasa yang akan mencelarukan keputusan gabungan berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata usaha pembentukan pakatan berkenaan tidak dapat dizahirkan secara jelas terutama mengenai kuasa pemutus khususnya antara tiga pemimpin tertinggi serta pemimpin lain.

“Ada tiga struktur di atas, ada ketua umum, pengerusi dan presiden manakala ada lagi tiga struktur timbalan di bawah…boleh bayangkan dalam keadaan struktur teratas bagaimana dia membentuk keputusan.

“Kalau PAS ada institusi presiden dan Majlis Syuran dan ia mendefinasikannya daripada segi barisan, tetapi kalau yang ini siapa yang nak definasikan kuasa siapa yang lebih?” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Perak Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor di Dewan EMV, di sini, hari ini.

Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, turut menganggap tujuh tindakan yang mahu dilaksanakan pakatan pembangkang kepada rakyat jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai ‘carca marba’ dan hanya ‘auta’ bagi meraih undi.

Katanya, jika parti itu memperoleh mandat rakyat pada PRU-14, semua janji berkenaan hanya akan tinggal janji kosong dan kemudian mereka akan menabur alasan kerana ia mustahil untuk dilakukan.

Beliau berkata, sebaliknya matlamat asal pakatan berkenaan hanya semata-mata untuk menjatuhkan dan menjadikan seseorang sebagai perdana menteri tanpa melihat konteks yang lebih besar iaitu negara.

“Dari segi matlamat asas, PKR umpamanya untuk memastikan seseorang dapat keluar (penjara) atau dijadikan perdana menteri, bukan dalam konteks luar iaitu membentuk sebuah negara…samalah dengan keadaan ini.

“Kemudian diberikan janji kalau mereka membentuk kerajaan dia janji dululah apa yang penting kepada rakyat, contoh kawal harga minyak…macam mana hendak kawal harga, harga minyak bukan ditentukan Malaysia tetapi pasaran antarabangsa,” katanya. – WD MY