KUALA LUMPUR, 26 April – Program…… Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghadiri program Bicara Tentang Negara Bersama Biro Tatanegara (BTN) anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Bangunan Bakti Siti Hasmah di sini.

Selain Rosmah, yang juga Yang Dipertua Bakti, majlis sehari itu turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Puan Sri Rohani Abdullah.

Sesi perkongsian ilmu itu dikendalikan oleh Ketua Pengarah BTN Datuk Ibrahim Saad.

Lebih 100 peserta terdiri daripada anggota Bakti, Puspanita, Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat)  serta Persatuan Keluarga Polis (Perkep) menghadiri program itu.

Program berkenaan, antara lainnya mengetengahkan peranan wanita dalam menyalurkan maklumat  tepat mengenai isu-isu semasa dalam negara.

Selain itu, peserta juga diberi peluang mengutarakan pandangan serta pendapat mengenai pelbagai isu semasa agar dapat dibincangkan bersama. – WD MY