KUALA LUMPUR, 24 Feb – Badan Amal dan Kebajikan
Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan YTL Corporation hari ini tidak melupai insan
yang kurang upaya dabn memerlukan bantuan dengan mengadakan majlis sambutan sempena
Tahun Baru Cina bersama kira-kira 400 anak yatim, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) hari ini.

Isteri Perdana Menteri selaku Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan
berjumlah RM95,000 kepada 19 buah rumah kebajikan, masing-masing menerima RM5,000 beserta angpau.

Antara rumah kebajikan yang didiami pelbagai kaum terbabit ialah Rumah
Orang Tua Ampang, Rumah Orang Tua Sungai Way, Chester Rawang, Gabungan Orang
Cacat, Yayasan Bestari, Asrama Cahaya I.J. Convent, Kompleks Penyayang Bakti dan
Rumah Siloam.

Majlis makan tengah hari yang diadakan di sebuah hotel di sini turut
dihadiri isteri timbalan perdana menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan
Pengarah YTL Datuk Yeoh Soo Min.

Persembahan nyanyian serta tarian tradisional daripada Permata Seni Negara
dan Pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Jinjang diselitkan bagi menghiburkan
tetamu serta memeriahkan majlis.

Sementara itu, Pengurus Operasi Rumah Charis, Suzanne Lee melahirkan
penghargaan kepada Bakti dan YTL yang saban tahun tidak pernah lupa meraikan dan
memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Saya gembira dapat bawa beberapa penghuni Rumah Charis. Bukan hanya dapat
menjamu selera malah sekali gus merapatkan silaturrahim dan berkenalan dengan
rakan-rakan dari rumah lain,” katanya.

Penghuni Badan Latihan dan Hidup Berdikari, Gurdip Kaur, 53, turut berkongsi
kesyukuran dan kegembiraan dengan perhatian yang diberikan Bakti serta YTL
kepada golongan seperti mereka.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY