TUMPAT, 16 Nov – KEJAM….. Angkara Motif dendam dipercayai menjadi penyebab tiga sekeluarga dibunuh oleh bekas pekerjanya dalam kejadian di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab, semalam.

Lelaki yang berusia awal 30-an itu berasal dari Tumpat dan sudah lebih tiga tahun bekerja dengan mangsa, Kha Ng Ni, 42 serta didapati sangat rapat dengan keluarga terbabit.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad, berkata pihaknya sedang memburu suspek yang dipercayai cuba melarikan diri ke Thailand.

“Kita syak suspek cuba melarikan diri ke negara jiran dan kita gunakan semua elemen yang ada, termasuk Pasukan Polis Marin dan pasukan keselamatan lain di sempadan dengan mengedar gambar suspek.

“Motif pembunuhan yang dilakukan suspek adalah berunsurkan dendam dan kita akan siasat dengan lebih terperinci sama ada dendam membabitkan kewangan atau perselisihan faham,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, hari ini.

Katanya lagi, hubungan suspek dengan keluarga mangsa amat rapat seperti ahli keluarga dan hasil pemeriksaan yang dibuat mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau.

Dalam kejadian antara jam 1.30 hingga 2.30 petang itu, Ng Ni maut bersama isterinya Chua Joo Seok, 37, dan anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13, manakala seorang lagi anak mangsa, Kha Xing Rhuu, 15, parah dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Din berkata hasil soal siasat terhadap Xing Rhuu yang juga saksi utama kejadian terbabit, berkata dia dan adiknya Zee Hanz baru pulang dari sekolah sebelum ternampak bapanya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah.

“Ketika dua beradik ini ingin masuk ke rumah, suspek mengarahkan seorang daripada mereka mengambil fail dari dalam van yang diparkir di luar.

“Kita percaya suspek mempunyai niat untuk membunuh kesemua ahli keluarga bagi menghapuskan bukti,” katanya. – WD MY