WASHINGTON, 8 Jan – Pengampunan….. Pemimpin agama Rastafarian, bekas tahanan Taliban dan ribuan pengedar dadah sudah diserahkan kepada Barack Obama bagi pengampunan menjelang tempoh akhir pentadbirannya, sebagai Presiden Amerika Syarikat, akhir Januari ini.

Beberapa Presiden AS, sebelum ini pernah menggunakan kuasa mereka untuk mengurangkan tempoh tahanan atau memberi pengampunan kepada pesalah pada akhir pentadbiran mereka.

Presiden Bill Clinton, sebelum tamat pentadbirannya pada 2001, mengampunkan mendiang pelarian perdagangan, Marc Rich, kerana bekas isterinya, adalah antara penyumbang terbesar kepada dana Parti Demokrat.

Enam belas tahun kemudian, Obama pula menerima tekanan untuk memberi pengampunan atau mengurangkan hukuman terhadap individu yang dianggap penyokongnya sebagai “tidak dihukum dengan adil” oleh sistem kehakiman.

Antaranya, bekas tentera AS, Sarjan Bowe Bergdahl, yang ditahan selama lima tahun oleh Taliban, sebelum dibebaskan dalam program pertukaran tahanan, namun kini berdepan dengan perbicaraan mahkamah tentera atas tuduhan membelot.

Aktivis pribumi Amerika, Leonard Peltier, yang didapati bersalah pada 1975 atas kematian dua ejen FBI, juga berharap mendapat pengampunan daripada Obama.

Turut menaruh harapan, Edward Snowden, 33, yang menggegarkan dunia dengan pendedahan berani mengenai sistem komunikasi dan pengawasan internet pada 2013

Beliau yang mendapat sokongan Amnesty International dan American Civil Liberties Union, diramal penyokongnya bakal dikenakan hukuman mati di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump daripada Parti Republikan, kerana dia dianggap sebagai “pembelot yang dahsyat”.

Satu lagi membabitkan kes kebocoran maklumat oleh Chelsea Manning yang kini dipenjara selama 35 tahun atas kesalahan menyerahkan 700,000 dokumen sulit ketenteraan dan diplomatik kepada WikiLeaks.

Walaupun Rumah Putih mengenepi kemungkinan pengampunan diberikan kepada Snowden dan Manning, penyokong kedua-dua individu itu masih mengharapkan ihsan Presiden sebelum beliau meninggalkan pejabatnya pada 20 Januari ini. – WD MY