KUALA LUMPUR, 14 Mei – Laporan Sebelum Tindakan Lanjut…. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan siasatan dilakukan terhadap projek pembangunan di ibu negara bagi mengesan kemungkinan wujudnya unsur rasuah oleh agensi pelaksana sehingga mencetuskan banjir kilat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, badan tertentu perlu melakukan siasatan terperinci dan menghantar laporan kepadanya untuk tindakan lanjut.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, laporan itu perlu dikemukakan sebelum beliau mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Alam bagi membincangkan isu banjir kilat di ibu negara, seterusnya memutuskan tindakan penyelesaian menyeluruh.

“Jemaah Menteri dimaklumkan mengenai banjir kilat di Kuala Lumpur dan oleh kerana saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Alam, aspek itu adalah di bawah tanggungjawab saya.

“Saya akan mengetepikan perbezaan portfolio mana-mana kementerian, jabatan atau agensi kerana yang penting adalah mangsa dan rakyat keseluruhannya, masalah mereka harus diselesaikan.

“Saya minta mereka yang menuding jari supaya duduk bersama saya untuk menyelesaikan masalah rakyat ini segera supaya banjir kilat tidak berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri 2016 di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid ditanya kemungkinan wujudnya kelemahan integriti termasuk unsur rasuah dalam pelaksanaan projek khususnya berskala mega sehingga menyumbang kepada banjir kilat.

Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) saling menuding jari dalam isu banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kemungkinan kerajaan mengambil tindakan terhadap kartunis politik Zunar yang kerap mengkritik kepemimpinan negara, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan.

“Aspek moral, akhlak, integriti orang yang menghina harus juga dilihat. Kalau kita tidak suka orang menghina kita, kita jangan menghina orang,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY