GEORGETOWN, 10 Sept – BANJIR……. Lebih 79 mangsa banjir daripada 19 keluarga terpaksa dipindahkan pagi tadi selepas kediaman mereka di Kampung Sungai Baung, Nibong Tebal dilanda banjir kilat ekoran limpahan air sungai berikutan hujan lebat,¬† sejak petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata semua mangsa terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara yang dibuka di Dewan Serbaguna Jawi, jam 3 pagi tadi.

Mangsa yang terdiri daripada  54 individu dewasa dan 25 kanak-kanak itu terpaksa dipindahkan berikutan air naik melebihi paras satu meter.

“Seramai 31 anggota dan beberapa aset digunakan di lokasi dalam usaha menyelamat dan memindahkan mangsa ke tempat yang selamat.

“Dalam kejadian hujan lebat semalam turut menyebabkan jalan yang menghubungkan Kampung Sungai Baung ke Relau, Kedah juga terputus. Selain beberapa kampung berhampiran iaitu Kampung Wellesley, Kampung Lima dan Kampung Sethu mula dinaiki air,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun paras air di ketiga-tiga kampung berkenaan semakin surut dan jalan raya yang terputus hubungan pada sebelah petang semalam sudah boleh dilalui oleh kenderaan.

“Kita akan terus melakukan pemantauan di sekitar kawasan banjir berkenaan untuk memastikan keadaan selamat,” katanya. – WD MY