JOHOR BAHARU, 16 Nov – Banjir kilat melanda jalan utama di pusat bandar raya di sini hari ini, sekali gus menyebabkan berpuluh kenderaan terkandas.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata hujan
lebat luar biasa bermula 12 tengah hari sehingga 1.30 tengah hari menyebabkan
air naik sehingga 1.5 meter dan sekurang-kurangnya 20 kereta dipercayai
terperangkap dalam kejadian itu.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Antara jalan yang dinaiki air Jalan Wong
Ah Fook yang menjadi tumpuan orang ramai dan terletaknya pusat beli-belah Johor
Baharu City Square dan Komtar JBCC.

“Beberapa jalan berdekatan menghala ke kedua-dua kompleks tersebut turut
dinaiki air,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sulaiman berkata ekoran kejadian itu, para pengguna jalan raya dinasihati
menggunakan laluan alternatif dan anggota trafik turut mengawal aliran lalu
lintas di kawasan berkenaan.

Sulaiman berkata laluan satu lorong di Jalan Wong Ah Fook dibuka semula
kepada lalu lintas pada 2.15 petang selepas banjir beransur surut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Johor yang dihubungi
berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah
hari.

Menurut jurucakap itu, anggota JPAM kemudian bergerak ke 10 lokasi di
sekitar bandar raya bagi melakukan pemantauan termasuk Jalan Kolam Ayer, Jalan
Wong Ah Fook dan beberapa jalan sekitar.

“Anggota JPAM Johor turut membantu seorang wanita berumur lingkungan 20-an
keluar dari keretanya selepas panik akibat terperangkap dalam banjir di Jalan
Wong Ah Fook,” katanya.

Anggota bomba turut meninjau beberapa tempat letak kereta bawah
tanah antaranya di Komtar JBCC, Public Bank dan Merlin Tower bagi memastikan
tiada mangsa yang terperangkap. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY