KUALA LUMPUR, 12 Mei – Banjir Kilat…….. Hujan lebat menyebabkan 15 buah kereta tenggelam, manakala ratusan lagi terperangkap dalam banjir kilat yang melanda beberapa laluan di ibu negara susulan hujan lebat, lewat petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, menerima laporan sekurang-kurangnya empat laluan sekitar ibu negara dinaiki air sehingga mengakibatkan kesesakan trafik luar biasa, kira-kira jam 7.15 malam.

Antara laluan yang terjejas teruk adalah di Jalan Semantan, Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta), Jalan Bangsar dan Jalan Pudu (hadapan Hospital Tung Shin) serta Jalan Pantai Dalam, dan belasan kenderaan dilaporkan tenggelam dalam banjir kilat di Jalan Lingkungan Budi dan hadapan pintu masuk kampus Universiti Malaya (UM), di sini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, 15 kenderaan dilaporkan tenggelam dalam banjir kilat separas pinggang yang membanjiri dua kawasan berkenaan dan menyebabkan puluhan kenderaan lain terperangkap dalam kesesakan.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dan Seputeh digerakkan ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan.

“Seramai 11 orang diselamatkan dengan seorang wanita sesak nafas dan dihantar ke hospital berhampiran,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY