KOTA KINABALU, 1 Jun – BANJIR…. Keadaan Hujan lebat sejak jam 6 petang hingga lewat malam tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah ini, Penampang, Tuaran dan Papar.

Antara lokasi yang terjejas adalah di Jalan Lido dan Lintas, manakala di Sepanggar iaitu di Kampung Tebobon, Lokub dan Gudon.

Di Penampang, lokasi terjejas ialah di Jalan Bundusan dan di Kampung Bagagon dengan beberapa kawasan berkenaan dinaiki air.

Di Papar pula, banjir turut berlaku di Kampung Nambazan.

HUJAN lebat sejak 6 petang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Penampang, Tuaran dan Papar.

Beberapa gambar yang tular di media sosial menunjukkan ada restoran dan kereta dinaiki air iaitu di Lido dan Jalan Bundusan manakala di Kampung Melalia, Sipitang dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, ketika dihubungi memaklumkan sejak 7 malam tadi sebanyak 50 panggilan diterima membabitkan banjir di daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Papar.

“Setakat ini, anggota bomba sedang memantau keadaan di lokasi banjir.

“Mungkin ada mangsa dipindahkan namun belum ada laporan diterima daripada anggota bomba yang bertugas di lokasi,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, pihaknya menerima beberapa panggilan berkaitan pokok tumbang di atas jalan raya.

“Antaranya di Putatan, Kolombong, Manggatal, Inanam dan Telupid. Anggota APM kini sedang mengalihkan dan membersihkan pokok-pokok yang tumbang,” katanya. – WD MY