KEMAMAN , DISEMBER 13: BANJIR… Banjir di Terengganu semakin merebak dengan Kemaman menjadi daerah kedua di negeri ini mula dilanda bah hari ini selepas Setiu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, dua kawasan di daerah ini yang ditenggelami banjir ialah Kampung Batu 9, Chukai dan Teluk Kalong di sini.

“Seramai 230 mangsa banjir dari dua penempatan itu telah ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) masing-masing.

“Ia menjadikan mangsa banjir di seluruh Terengganu meningkat kepada 266 orang termasuk 36 orang di daerah Setiu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Adam berkata, dua PPS yang dibuka di Kemaman ialah Tadika Kemas Batu 9 dan Dewan Pusat Latihan Darul Iman, di Teluk Kalong di sini.

Menurut beliau, dua laluan di daerah ini iaitu Jalan Pelantoh dan Jalan Teladas, Air Putih dekat sini turut terpaksa ditutup untuk kegunaan semua jenis kenderaan kerana dinaiki air bah setinggi 0.4 meter.

“Daerah Setiu pula, dua PPS masih dibuka iaitu Masjid Merbau Menyusut dan Surau Kampung Mak Bakas dekat sini.

“Dua lagi PPS yang dibuka sebelum ini iaitu Surau Kampung Bukit Nyior dan Balai Raya Kampung Langkap baru ditutup setelah banjir semakin surut,” katanya.-MY WD