ATHENS, 16 Nov – Bantah…… Pertempuran ganas tercetus antara polis dan lebih 7,000 penunjuk perasaan di Greece yang membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke bandar raya ini.

Polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan ribuan penunjuk perasaan yang mula membanjiri jalan-jalan di pusat bandar Athens, pada Selasa.

Penunjuk perasaan pada mulanya merancang untuk berarak ke arah kedutaan Amerika, namun terganggu akibat pertempuran dengan polis.

Semua bentuk bantahan diharamkan di kota ini sepanjang lawatan Obama, dan polis bertindak meletakkan bas di sepanjang laluan presiden AS itu.

Protes bertukar menjadi ganas selepas penunjuk perasaan cuba untuk memecahkan kepungan polis di sekitar Parlimen Athens dan kedutaan Amerika Syarikat.

Bom petrol turut dilontar ke arah pegawai polis di daerah utara di bandar ini.

Menurut laporan, lebih 5,000 pasukan polis ditempatkan di seluruh bandar untuk membendung penunjuk perasaan.

Beberapa kumpulan turut membantah pemilihan Donald Trump sebagai bakal Presiden Amerika Syarikat. – WD MY