PERAIRAN MYANMAR, 8 Feb – Dijangka…. Nautical Aliya dijangka tiba di Pelabuhan Yangon antara jam 8 malam hingga 9 malam esok.

Kapal dengan muatan 2,300 tan bantuan kemanusiaan itu hingga jam 11.30 malam waktu Malaysia berada pada kedudukan 189 batu nautika dari pelabuhan.

Ia kini diiringi sebuah kapal tentera “Myanmar Navy 577” sejak 10.30 malam tadi.

Pembantu Kapten Nautical Aliya, S Justine, berkata Myanmar Navy 577 menggantikan kapal Myanmar Navy 566 yang mengiringi kapal kemanusiaan itu sejak petang tadi.

“Mereka (Myanmar Navy 577) hubungi kita tadi untuk pengesahan identiti kapal.

“Mereka maklumkan jika kita perlukan sebarang bantuan,” katanya pagi ini.

Nautical Aliya yang dalam misi flotila kemanusiaan belayar dari Pelabuhan Klang sejak Jumaat lalu akan berlabuh di Yangon untuk menurunkan makanan kepada kelompok terjejas di Rakhine.

Kapal itu kemudian dijadual meneruskan pelayaran ke Bangladesh dalam tempoh 24 jam di Yangon, Myanmar. – WD MY