BAGAN DATUK, 9 Sept – BANTUAN….¬†Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidiberkata Kerajaan akan menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan dan barangan keperluan harian bernilai RM4 juta kepada pelarian Rohingya yang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar, esok.

Ahmad Zahid berkata misi penghantaran bantuan itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua kepimpinan Barisan Nasional pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN petang semalam.

“Kerajaan juga mendapat penajaan daripada syarikat penerbangan untuk membawa bantuan kemanusian ini bagi membantu masyarakat Rohingya yang lari menyelamatkan diri,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat bersempena Program Merdeka Ride 2017.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang merupakan Penaung Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) turut meraikan konvoi 350 anggota SAM dari seluruh negara selain konvoi superbikers dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei bersempena Merdeka Rides.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk turut meraikan tiga pasangan pengantin selain menyampaikan sumbangan kepada 20 asnaf terpilih.

Dalam pada itu,  Ahmad Zahid turut meminta kumpulan superbikers tanpa mengira bangsa, kaum dan negara agar menyatakan solidariti serta prihatin dengan nasib pelarian Rohingya.

“Kita perlu berasa syukur dengan keamanan yang dikecapi, namun jangan dilupakan bahawa pelarian Rohingya yang sengsara ekoran dinafikan hak mereka,” katanya. – WD MY