BAGAN DATUK 17 Mac – BANTUAN…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata  Semua komponen parti Barisan Nasional (BN) diminta menyusun jadual supaya sumbangan bantuan yang diberikan kepada rakyat yang memerlukan dapat dibuat sepanjang masa.

Ahmad Zahid berkata perkara itu penting bagi mengelakkan sumbangan tersebut hanya diberi kepada golongan sasar secara bermusim terutama ketika menjelang Pilihan Raya Umum.

Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, tanggungjawab sama juga perlu digalas kementerian, agensi dan jabatan kerajaan serta pihak swasta supaya semua rakyat dapat dibantu secara menyeluruh.

” Oleh kerana kita mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang, UMNO dan semua parti BN, kementerian dan agensi swasta hendaklah menyusun jadual agar soal kepedulian kepada rakyat tidak bermusim tetapi berjalan setiap tahun tidak kira sama ada perayaan atau musim menuai, kita seharusnya mengambil kepedulian rakyat setiap waktu.

“Begitu juga soal bantuan hari ini. Saya harap ia tidak terhad pada hari ini sahaja sebaliknya saya mohon agar setiap isi rumah diberikan bantuan tidak kira miskin atau tidak miskin, kita mahu semua rakyat merasa bantuan dari biro kebajikan UMNO Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Dewan Datuk Mohamed Jamrah, Sungai Sumun hari ini.

Kira-kira 5,000 masyarakat daerah Bagan Datuk menerima manfaat menerusi program itu yang melibatkan pemberian sumbangan keperluan asas kepada ibu tunggal, asnaf serta bantuan pendidikan untuk pelajar sekolah.

Dengan membuat analogi menanam padi iaitu hasil hanya diperoleh ketika musim menuai, beliau berkata bantuan jangan hanya banyak diberikan ketika menjelang pilihan raya semata-mata.

“Dalam memberi bantuan, ia tidak harus bermusim, bila musim menuai tiba, baru berguni-guni beras sampai.

“Semua jentera UMNO dan jentera kerajaan harus menyusun jadual beri bantuan sepanjang tahun tanpa mengira musim perayaan atau musim menuai, kita harus ambil kepedulian sepanjang waktu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, juga berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) lain harus mencontohi UMNO yang memberi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau percaya parti komponen BN yang ditubuhkan berlandaskan kaum tidak hanya memperjuangkan kaum masing-masing sahaja kerana rakyat sentiasa mahu BN dan parti komponennya mengambil peduli nasib mereka.

“Jangan bantuan ini terhad pada hari ini sahaja, mohon setiap isi rumah diberi bantuan tidak kira miskin atau tidak miskin, semua mesti terima bantuan daripada Biro Kebajikan UMNO.

“Saya sentiasa akan menjadi pendokong utama Biro Kebajikan UMNO pada setiap waktu,” katanya. – WD MY