BAGAN DATUK, 18 Mac — BANTUAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sekolah-sekolah luar bandar perlu  diberikan bantuan dan kemudahan yang setara dengan sekolah bandar untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Beliau berkata dengan adanya bantuan dan kemudahan, pelajar sekolah luar bandar dapat melakarkan pencapaian yang lebih  cemerlang.

“Prestasi  akademik di sekolah luar bandar kini adalah lebih baik berbanding bandar … sekolah-sekolah  di Bagan Datuk mencatatkan  keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang luar biasa baru-baru ini.

“Dengan adanya bantuan peralatan, saya pasti prestasi yang dicatatkan akan jauh lebih cemerlang dan gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program penyerahan sumbangan komputer dan bahan bacaan kepada 47 pelajar dari 31 sekolah rendah dan menengah serta 17 tadika dalam Parlimen Bagan Datuk di Dewan Hajah Tuminah, Rungkup hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata sektor  pendidikan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) perlulah saling berkerjasama dalam  memberi bantuan kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

Gabungan tiga pihak itu mampu memastikan nasib pelajar dan murid di luar bandar terus mendapat pembelaan, sesuai dengan perubahan dan kehendak bantuan semasa serta kaedah pembelajaran masa kini. – WD MY