KUCHING, 13 Mei – Adenan Bakal Umum Kabinet…….. Barisan Kabinet baharu kerajaan negeri Sarawak dijangka diketahui hari ini, enam hari selepas Barisan Nasional (BN) menerima mandat baharu daripada rakyat untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dijangka mengumumkan barisan Kabinet itu di bangunan Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya pada kira-kira jam 3 petang hari ini.

Adenan akan mengadakan persidangan media mengenai barisan Kabinet baharu negeri.

Perhatian pastinya terarah pada siapa yang akan dipilih bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri selepas Tan Sri Alfred Jabu Numpang memutuskan untuk mengundur diri pada pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei lalu.

PRN-11 menyaksikan BN memperoleh kejayaan besar apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, berbanding 55 daripada 71 kerusi pada pilihan raya negeri 2011.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui Adenan meneruskan kecemerlangan dengan memenangi semua 40 kerusi yang ditandinginya, dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang diterajui Tan Sri James Jemut Masing turut cemerlang apabila menang semua 11 kerusi yang ditandinginya.

Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) juga mempamerkan prestasi yang baik apabila memenangi tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya, berbanding enam kerusi yang dimilikinya sebelum ini.

Selain itu, tumpuan juga pasti terarah kepada Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.

Ini susulan Adenan dalam sidang media awal bulan ini berkata satu-satunya cara untuk masyarakat Cina diwakili dalam kerajaan adalah dengan mengundi SUPP dan selepas itu baharulah beliau boleh mempertimbang untuk menambah lebih ramai wakil-wakil dari Cina dalam Kabinetnya.

Presiden SUPP yang terakhir memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri ialah Tan Sri Dr George Chan, namun beliau tewas dalam pilihan raya negeri 2011, menyebabkan beliau terpaksa melepaskan jawatan sebagai presiden dan timbalan ketua menteri. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY