KUALA LUMPUR,SEPTEMBER 30: Barisan Nasional (BN) akan dijenamakan semula menjadi satu gabungan baharu membabitkan penyertaan bukan saja parti politik, tetapi badan bukan kerajaan (NGO).

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha itu akan dilakukan sebaik perundingan dengan rakan komponen sedia ada dimuktamadkan.

Menerusi tindakan penjenamaan itu nanti, beliau berkata, UMNO, MCA, MIC, MyPPP, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) terus kekal, disamping penyertaan parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama.

“(Ia juga) membabitkan penyertaan parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong parti itu, (di samping penyertaan) NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Penjenamaan itu antara yang terkandung dalam tujuh teras merangkumi 21 langkah yang akan dilaksana UMNO dan BN untuk kembali bangkit selepas mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 Mei lalu.

Gabungan baharu itu nanti, kata Ahmad Zahid akan membolehkan pendaftaraan individu ahli secara langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli BN tanpa melalui mana-mana parti politik.

Langkah lain, kata beliau, UMNO mencadangkan had umur keahlian parti diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun selaras dengan keputusan kerajaan memutuskan had umur pengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Beliau berkata, UMNO juga akan memudahkan proses penerimaan kemasukan ahli ke dalam UMNO dan usaha pemutihan ke atas senarai pangkalan data ahli-ahli akan dikemaskinikan segera.

“Kita tidak perlu berbangga dengan ahli yang ramai tetapi tidak setia, namun kita mahukan ahli yang berkualiti dan setia kepada parti.

“Saya mencadangkan agar badan perhubungan negeri dan UMNO bahagian diberi kuasa untuk pelaksanaannya,” katanya.-MY WD