KUALA LUMPUR, 16 Jan – KPI…..

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya yakin dengan kesungguhan dan perancangan yang dibuat, pembangunan rumah mampu milik itu dapat dibina lebih awal daripada tahun sasaran yang ditetapkan.

Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang bakal dicapai oleh Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membina 80 ribu Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) menjelang 2020 bukti bahawa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) bukan hanya omongan kosong kepada rakyat.

“ BN bukanlah parti yang menipu rakyat. Apa yang kita (BN) cakap, kita akan laksanakan. Projek Rumawip ini merupakan salah satu pembangunan yang telah dinyatakan di dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ada Majlis Penyempurnaan Perjanjian di antara Malaysian Building Society Berhad (MBSB) dan Hektar Aneka Sdn Bhd serta Pembukaan Pendaftaran Rumawip bagi Residensi Hektar hari ini.

Tambah Tengku Adnan, beliau sedar ada pihak yang tidak suka melihat kejayaan BN membantu rakyat, namun perkara itu tidak diambil pusing kerana objektif utama kerajaan adalah untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

“Pihak pembangkang tidak suka melihat kejayaan BN sebab itu mereka cakap macam-macam mengenai saya yang bertindak sebagai menteri, dan kepada Perdana Menteri. Tapi percayalah, ini semua untuk kebaikan rakyat.

“Saya tidak mahu ambil tahu apa cuba dilakukan oleh mereka. Tetapi saya percaya, diakhirnya, rakyat akan sedar, apa yang dilakukan kerajaan pada hari ini adalah untuk mereka.

“Rakyat boleh baca apa juga cerita yang dikatakan oleh mereka. Tetapi rakyat juga perlu bijak untuk berfikir dan menganalisis setiap apa yang mereka katakan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengambil peluang keemasan yang ditawarkan oleh kerajaan yang sentiasa prihatin dan mendahulukan kepentingan rakyat serta menjaga kebajikan semua.

Projek pembangunan yang mempunyai lima blok perumahakan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung Disember 2021 dan akan dijual dengan tawaran harga diantara RM266 ribu hingga RM299.9 ribu setiap unit. – WD MY