DAMSYIK, 14 April – Reka….. Dakwa Presiden Syria, Bashar al-Assad, tuduhan serangan senjata kimia hanyalah rekaan sebagai alasan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara tatkala Moscow mencari sebab mempertahankan sekutunya itu walaupun hubungan dengan Washington kian tegang.

Dalam temu bual eksklusif dengan media di Damsyik, yang pertama sejak insiden 4 April lalu yang mendorong AS menyerang tentera Syria, Bashar berkata, tenteranya sudah tiada senjata kimia dan serangan AS itu tidak menjejas kekuatan angkatan bersenjata Syria.

“Dakwaan AS hanya rekaan 100 peratus,” katanya dalam wawancara itu mengenai serangan kimia yang diperkatakan.

“Apa yang kami nampak, pihak barat terutama AS bekerjasama dengan pengganas. Mereka mengada-adakan cerita ini untuk mempunyai alasan menyerang Syria.”

Pemimpin barat termasuk Presiden Donald Trump menuduh Bashar mendalangi serangan minggu lalu ke atas bandar Khan Sheikhun, selatan Idlib yang dikuasai pemberontak, mendakwa tentera rejim itu melepaskan senjata kimia dalam satu serangan udara.

Serangan yang diperkatakan itu membunuh sekurang-kurangnya 87 orang termasuk ramai kanak-kanak dan gambar mangsa terbunuh dan menderita mencetuskan kemarahan seluruh dunia.

Jabatan Negara AS hari ini berkata kesalahan itu menyamai ‘jenayah perang.’ – WD MY