KUALA TERENGGANU, 16 NOV – BATAL…. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan pembatalan jemputan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) diputuskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sambil menyindir Azmin yang mendakwa ada ‘tangan ghaib’ terbabit dalam isu pembatalan jemputannya, Presiden PKR itu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan MPP.

“Tiada sesiapa yang boleh beri kata dua, tiada sesiapa yang patut bersikap angkuh dan beri arahan.

“Keputusan itu dibuat oleh MPP yang terbuka, bukan keputusan Setiausaha Agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) seperti didakwa, tetapi keputusan pimpinan parti dalam mesyuarat bulanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada Konvensyen Keadilan Negeri Terengganu dan Kelantan di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi bahawa wujud tangan ghaib dalam pembatalan jemputannya itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam nada menyindir berkata, apa-apa perubahan bukan ugutan oleh mana-mana tokoh, tetapi mesti dibuat menerusi MPP.

“Kita mungkin tengok dari langit atau bulan ke? Apa pun, dalam mesyuarat Biro Politik dua kali sebulan atau mingguan, mesyuarat MPP setiap bulan, semua boleh bantah, boleh beri pandangan, boleh tolak, ini semua keputusan MPP,” katanya.

Anwar turut mengaitkan kegagalan Azmin hadir dalam beberapa mesyuarat parti menyebabkan jemputan untuknya merasmikan Kongres Nasional AMK itu dibatalkan.

“Kalau anda media, tak pernah datang mesyuarat, jadi editor anda tak panggillah anda,” katanya.

Dalam pada itu mengenai keputusan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak untuk membatalkan Konvensyen PKR negeri pada 23 November ini sekiranya isu pembatalan jemputan Azmin tidak diselesaikan secara adil, Anwar berkata, konvensyen itu akan tetap diteruskan.

“(Yang hendak batalkan) itu hanya beberapa orang tokoh PKR Sarawak. Saya dapat maklumat lain (konvensyen diteruskan) dan biar parti jelaskan kerana ramai yang lain mahu teruskan.

“Kebanyakan Ketua Cabang PKR mahu konvensyen diteruskan. Itu saya lihat keputusan jawatankuasa konvensyen,” katanya.

Semalam, Azmin mendakwa wujud ‘tangan ghaib’ dalam isu pembatalan jemputan beliau untuk merasmikan Kongres Nasional AMK di Melaka pada 6 Disember ini dibatalkan.

Susulan itu, MPN PKR Sarawak turut memutuskan selagi isu itu tidak diselesaikan secara adil mengikut lunas demokrasi, Konvensyen PKR negeri yang dijadualkan 23 November ini di Miri, terbatal.

Kepimpinan PKR Sarawak turut menegaskan jika krisis itu tidak ditangani segera oleh pimpinan tertinggi, ia akan menyebabkan krisis dan perpecahan dalam PKR. – WD MY