KUANTAN, MAC 25:BATAL..Tindakan parti pembangkang mahu membatalkan perjanjian kontrak dengan kerajaan China jika menang pilihan raya umum akan datang akan merugikan peneroka dan pekebun kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ini kerana China adalah antara pembeli minyak kelapa sawit terbesar negara bersama India dan Kesatuan Eropah (EU).

“Mereka (pembangkang) hanya memikirkan undi pada pilihan raya tetapi tidak membela nasib rakyat di luar bandar. Sebagai contoh di Selangor, pemimpin mereka dapat undi tetapi rakyat dapat baldi.

“Berbanding dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), kita amalkan hubungan berbaik-baik dengan kuasa ekonomi besar seperti China dan India supaya mereka beli minyak kelapa sawit yang diusahakan peneroka dan pekebun kecil.

“Cuba bayangkan jika minyak sawit tidak dapat dijual dan apa nasib peneroka FELDA… ekonomi merudum dan segala yang dirancang akan lebur,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis Ramah Mesra di Parlimen Paya Besar di Padang Awam FELDA Lepar Hilir 1, di sini, semalam.-MY WD