DENPASAR, 3 Dis – BATALKAN….. Beberapa syarikat membatalkan lebih banyak penerbangan dari Bali hari ini kerana risiko abu akibat letusan Gunung Agung.

Seorang jurucakap lapangan terbang Bali berkata, ia masih beroperasi seperti biasa, namun syarikat penerbangan seperti Jetstar dan Virgin Australia memilih untuk membatalkan beberapa penerbangan.

“Situasi penerbangan di Bali dijangka baik sepanjang hari, namun ramalan untuk malam ini semakin merosot, jadi beberapa penerbangan sudah dibatalkan,” menurut syarikat penerbangan tambang murah Australia, Jetstar menerusi akaun Twitter.

Letusan gunung berapi menyebabkan penutupan lapangan terbang di Bali minggu ini, menyebabkan beribu pelancong dari Australia, China dan negara lain terkandas sebelum tiupan angin berubah dan penerbangan disambung semula.

Kira-kira 20 penerbangan dibatalkan kelmarin susulan debu gunung berapi.

Beberapa syarikat penerbangan termasuk AirAsia menyatakan mereka hanya beroperasi dari Bali ketika siang kerana debu akan menjejaskan jarak penglihatan pada sebelah malam dan arah angin yang sukar diramal. – WD MY