PUTRAJAYA, 25 Okt – Penumpang dan krew penerbangan Malindo Air cemas seketika selepas bateri vape atau rokok elektronik milik seorang penumpang terbakar secara tiba-tiba.

Kejadian pada kira-kira 6.45 petang semalam itu berlaku selepas pesawat
jenis Boeing 737-800 terbabit berlepas dari Kota Kinabalu ke KLIA2.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata kebakaran tersebut
berlaku semasa penumpang berkenaan sedang menonton tayangan video di paparan
skrin di tempat duduknya.

“Ketika leka menonton secara tiba-tiba bateri vape dalam beg yang berada
atas peha lelaki itu terbakar.

“Kebakaran kecil itu menyebabkan beliau mengalami kecederaan ringan di peha
dan lengan kiri, namun telah diberikan rawatan segera oleh seorang penumpang
lain yang kebetulan seorang doktor,” katanya.

Abdul Aziz berkata tindakan pantas anak kapal berjaya mengawal kebakaran dan
pesawat selamat mendarat di KLIA2 pada 8.44 malam.

Beliau berkata lelaki tersebut kemudian membuat laporan polis sejurus
mendarat.

Namun tiada aduan diterima daripada pihak Malindo Air sehingga kini
berhubung kejadian itu. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY