KUALA LUMPUR, 25 Mei – Janji Bayar Semula……. Rayani Air memberi jaminan akan memulangkan semula semua tuntutan pemulangan wang tiket penerbangan penumpang sebelum Aidilfitri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ravi Alagendrran, berkata pihaknya mengakui gagal membuat pembayaran semula tuntutan tiket penerbangan penumpang kerana syarikat kini berdepan masalah aliran tunai.

“Rayani Air akan membayar semua tuntutan pulangan tiket penerbangan tapi tidak dapat berbuat demikian pada masa ini kerana masalah aliran tunai kewangan.

“Kami akan membuat semua pembayaran penuh sebelum sambutan hari raya atau lebih awal selepas dana daripada pelabur masuk,” katanya, hari ini.

Semalam, lebih 200 penumpang syarikat penerbangan Rayani Air kecewa apabila mereka gagal mendapatkan tuntutan pulangan tiket penerbangan seperti dijanjikan sebelum ini.

Sehingga tarikh akhir dipersetujui untuk pemulangan bayaran tiket bagi penerbangan tidak dapat dinaiki mereka tamat kelmarin, penumpang terbabit masih belum menerima sebarang wang atau penjelasan daripada pengurusan syarikat. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY