MELAKA, 26 Nov – Seorang bayi lelaki yang dilaporkan diculik di rumahnya di Kota Laksamana di sini, petang Isnin lalu, diselamatkan polis dan diserahkan kepada keluarganya.

Difahamkan, sepasukan anggota polis menyelamatkan bayi yang baru berusia 12 hari itu daripada penculiknya dalam serbuan di sebuah rumah di Pulau Gadong di sini, malam semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Wira Chuah Ghee Lye ketika ketika dihubungi memberitahu, bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada keluarganya sejurus selepas serbuan itu.

Difahamkan, tiga wanita turut ditahan dalam serbuan itu.

Ghee Lye dijangka akan mengadakan sidang media mengenai bayi yang diselamatkan itu pada jam 11.30 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman sosial Twitternya mengucapkan tahniah dan syabas kepada anggota olis yang berjaya menahan dan menemui semula bayi berkenaan.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Isnin lalu, bayi berkenaan dilaporkan hilang selepas diculik di rumah neneknya di Kota Laksamana, Bandar Hilir.

Kejadian kehilangan bayi terbabit disedari ahli keluarganya apabila mendapati dia tiada di ruang tamu rumah sebelum melaporkan kejadian kepada polis.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY