BAGAN DATOH, 17 Okt – Catat Paras Air Naik……. Kawasan di daerah Bagan Datoh mencatatkan kenaikan paras air dari 0.3 hingga 1 meter akibat fenomena air pasang besar.

Antara kawasan yang terjejas banjir di daerah berkenaan termasuk Kampung Tanjung Sari,  Kampung Sungai Manila Kampung Kota, Kampung Bagan Pasir Laut, Kampung Bagan Sungai Belukang, Kampung Sungai Tiang, Kampung Bagan Lipas, Kampung Bagan Sungai Burung dan Kampung Bagan Ikan.

Setiausaha Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak,  Mohd Noor Hassan Ashari Sulaiman berkata, pemantauan masih diteruskan di kawasan berisiko banjir.

Setakat jam 4 petang tadi, bacaan paras air laut tertinggi yang dicatatkan adalah 3.4 meter namun keadaan beransur surut.

Beliau berkata, keadaan yang sama turut berlaku di kawasan daerah Hilir Perak.”Beberapa kawasan termasuk di Kampung Batu 7 1/2 Jalan Maharajala, Kampung Seri Jaya Batu 6, Batak Rabit dan Jeti Pak Ali, Sungai Jelawat yang dilimpahi air surut sepenuhnya awal pagi tadi.

“Bagaimanapun keadaan di daerah yang terjejas banjir berada dalam keadaan terkawal dan paras kenaikan air tertinggi yang dilaporkan adalah daripada 0.3 hingga 1 meter namun tiada pusat pemindahan dibuka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Noor Hassan Ashari berkata, pemantauan secara berkala masih diteruskan di kawasan terjejas banjir termasuk di daerah Larut Matang dan Selama, Kerian serta Manjung.

“Paras air naik di kawasan Kampung Menteri, Kampung Kuala Sangga dan Kuala Sepetang, di daerah Larut Matang dan Selama namun keadaan masih selamat dan terkawal,” katanya. – WD MY