LANGKAWI, 9 OGOS – SELESAI.. Polis menyelesaikan kes ragut bersiri di sekitar pulau ini sejak dua minggu lalu berikutan tangkapan seorang lelaki di sebuah rumah inap desa di Kampung Padang Ranggut  semalam.

Suspek berusia 20 tahun itu baru sahaja dibebaskan dari penjara kerana kesalahan jenayah samun, pecah rumah, curi motosikal dan dadah, ditangkap pada jam 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kad kredit dan kad debit milik mangsa ragut.

“Suspek yang juga penganggur dipercayai melakukan jenayah dengan menunggang motosikalnya sebelum meragut beg tangan mangsa yang berjalan di bahu jalan raya.

“Terbaru, suspek terbabit turut meragut beg tangan seorang wanita yang sedang berjalan bersama suaminya berhampiran sebuah resort di Pantai Chenang, kelmarin,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, hasil maklumat orang awam, suspek ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah inap desa oleh sepasukan polis.

“Suspek kini direman dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya suspek, kita menyelesaikan kes berkaitan ragut di kawasan Kuah dan Pantai Chenang sejak dua minggu lalu,” katanya. – WD MY