KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Tidak Akan Usul……”Saya seorang diri, dia kumpulan Ahmad Razif ramai, macam mana boleh lawan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau menjawab ringkas kepada media apabila ditanya sama ada akan membawa usul tidak percaya terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Bekas menteri besar itu tiba di Wisma Darul Iman pada kira-kira jam 9.30 pagi, dan bersalaman dengan pegawai kerajaan, pemerhati dan petugas media sebelum masuk ke dalam dewan.

Terdahulu, Ahmad Razif tiba kira-kira jam 9.20 pagi dan disusuli ADUN Ajil, Ghazali Taib; ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Awang dan ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafie serta ADUN Telemong, Datuk Rozi Mamat.

Ketua pembangkang yang juga ADUN PAS, Satipul Bahri Mamat dan kepimpinan pembangkang tiba secara berperingkat bermula jam 9.23 pagi.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan kawalan ketat di pintu masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini.

Setiap pemerhati yang melalui pintu masuk DUN perlu menjalani imbasan.

Kira-kira 300 penyokong Menteri Besar berhimpun di pekarangan DUN sambil melaungkan hidup Ahmad Razif dan menaikkan sepanduk sebagai tanda sokongan.

Selain penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, lebih 1,000 pemerhati berhimpun di pekarangan DUN.

Yang Dipertua DUN, Datuk Mohd Zuber Embong memasuki pejabatnya, kira-kira jam 8.05 pagi, EXCO kerajaan negeri yang paling awal tiba adalah ADUN Jertih, Muhammad Pehimi Yusof. – WD MY

LEAVE A REPLY