KUALA LUMPUR, 12 Julai – Failkan Perceraian….. Bekas Ratu Cantik Malaysia Puan Sri
Pauline Chai Siew Phin menfailkan permohonan kedua bagi membatalkan petisyen
perceraian yang difailkan suaminya jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng.

Peguam New Sin Yew yang mewakili Chai memberitahu pemberita bahawa anak
guamnya menfailkan permohonan pertama pada Mac tahun lepas manakala permohonan
kedua pada 20 Jun tahun ini.

New berkata permohonan kedua itu difailkan atas alasan petisyen perceraian
oleh Khoo bersifat akademik berikutan keputusan mahkamah di London yang
mengeluarkan perintah dekri nisi iaitu perintah sementara untuk perceraian pada
7 Jan lepas.

Peguam Goh Siu Lin yang mewakili Khoo pula berkata mahkamah di United
Kingdom (London) telah memutuskan perkahwinan antara pasangan itu telah
berakhir, tetapi mengikut undang-undang di Malaysia perkahwinan mereka masih
lagi sah.

Chai telah memfailkan petisyen perceraian di sebuah mahkamah di London pada
14 Feb, 2013, menuntut pampasan perceraian sebanyak 500 juta pound (RM2.75
bilion).

Chai, bekas Ratu Cantik Malaysia/Antarabangsa 1969 mahu mahkamah di England
membuat keputusan mengenai prosiding perceraian kerana mendakwa beliau tidak
lagi bermastautin di Malaysia sejak 1980 dan kini menetap di England sementara
Khoo, 77, mahu kes perceraian itu didengar di mahkamah di Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi Keluarga Datuk Siti Mariah Ahmad menetapkan 25 Julai
bagi pengurusan kes berhubung permohonan Chai itu.

Pada 28 Nov 2014, Mahkamah Tinggi Keluarga di sini memutuskan bahawa ia
mempunyai bidang kuasa untuk mendengar petisyen perceraian yang difailkan oleh
Khoo dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 19 Jun, 2015.

Mahkamah Persekutuan pada 28 April lepas juga membenarkan Khoo untuk
meneruskan petisyen perceraian terhadap Chai di Mahkamah Tinggi Keluarga, di
sini.

Pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 1970 dan mempunyai lima orang anak
yang sudah dewasa.

Khoo ialah pengerusi syarikat pemegang pelaburan antarabangsa Malayan
United Industries Bhd dan memiliki 44 peratus peruncit fesyen dan hiasan dari
UK, Laura Ashley Holdings. – WD MY

LEAVE A REPLY