JOHOR BAHRU, 9 FEB – TAHAN…. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang bekas Ahli Parlimen bergelar Datuk di Johor berhubung dua kes suapan wang dan sebidang tanah bernilai kira-kira RM230,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 56 tahun itu, yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 12.40 tengah hari tadi.

Bekas Ahli Parlimen itu berkemungkinan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

Difahamkan, bekas Ahli Parlimen berkenaan menggunakan jawatannya semasa menjadi Ahli Lembaga Pengarah FELDA, untuk mengesyorkan dan meluluskan pelantikan sebuah syarikat pencetakan yang disyaki beliau mempunyai kepentingan, bagi kerja penerbitan Akhbar 1Suara di FELDA antara tahun 2012 hingga 2015, yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.

Sebagai balasan, pada 2013, beliau menerima suapan wang bernilai RM50,000 dan pada 2014, beliau menerima sebidang tanah di Mukim Kota Tinggi, bernilai kira-kira RM180,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan dia akan menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – WD MY