AYER KEROH, 10 Nov – PECAH AMANAH…. Bekas peguam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap firma guamannya membabitkan wang tunai berjumlah RM47,431.79, lapan tahun lalu.

Tuah Atan, 57, yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana kudung kedua belah kaki dan tangan kiri, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, dia selaku peguam di firma guaman Tetuan Tuah, Hilmy dan Hazudin didakwa tidak menyerahkan wang yang diamanahkan berjumlah RM47,431.79 kepada dua individu dan melakukan pecah amanah dengan membelanjakan wang itu bagi kegunaan sendiri.

Tertuduh yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan itu di bank CIMB Melaka Raya, Jalan Parameswara, pada 20 September 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, namun mencadangkan RM60,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara serta menetapkan beberapa syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan mengalami kecacatan fizikal sejak lahir serta sukar mendapat pekerjaan dan menganggur lebih lapan tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Senawang, Negeri Sembilan pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan sehingga kes itu selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Disember ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan berkenaan. – WD MY