SEMPORNA, 16 April – Sentiasa Terbuka……. Pintu UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa terbuka luas kepada bekas pemimpin serta ahlinya yang mahu kembali berjuang dalam parti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, berkata UMNO dan BN tiada masalah menerima semula mereka yang kecewa dan mahu kembali ke pangkal jalan dengan menyertai perjuangan UMNO serta kerajaan sedia ada.

“Saya tidak mahu menamakan sesiapa tetapi kepada mereka yang mahu bersama kita, pintu terbuka luas dan ini termasuk mereka yang terpijak kulit pisang.

“Jangan sampai ada penyesalan dalam diri kerana penentangan tidak memberi sebarang makna.

“Kita kena belajar daripada sejarah kerana ia adalah cermin untuk melihat kehidupan masa hadapan. Jangan buat keputusan ketika marah atau sedih kerana ia adalah keputusan yang tidak betul.

“Kita perlu membuat keputusan ketika tenang,” katanya ketika merasmikan Akademi Pengajian al-Quran Semporna (APAQS) di Asrama Yayasan Sabah di sini, hari ini.

Dalam sidang medianya selepas itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, melahirkan keyakinan BN masih mendapat sokongan rakyat Semporna walaupun Parlimen itu adalah kawasan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menubuhkan Parti Warisan Sabah.

Walaupun ada usaha dilakukan untuk menarik sokongan akar umbi UMNO dan BN beralih arah dengan menyokong parti terbabit, Ahmad Zahid berkata, realitinya rakyat mahu kerajaan sedia ada kekal mentadbir negeri.

“Saya yakin bukan hanya kepemimpinan di Semporna, malah kita boleh mantapkan sokongan rakyat di peringkat akar umbi UMNO dan BN di seluruh negeri.

“Pembangkang tetap pembangkang dan tidak apa perlu dibimbangkan. Kita tidak akan jadi ‘anggota bomba’ untuk memadam api yang dinyalakan pembangkang, tetapi kita akan memusnahkan api berkenaan dengan sokongan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya. – WD MY