KUALA LUMPUR, 18N DIS – SELESAI… Bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther, selesai menjalani ujian poligraf di Bukit Aman selama empat jam bermula jam 4.30 petang tadi, bagi membantu siasatan kes dakwaan perlakuan tidak senonoh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadapnya.

Peguam mewakili Muhammed Yusoff, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla, berkata pihaknya amat berpuas hati dengan kelancaran ujian itu yang dikendalikan oleh tiga pakar.

“Muhammed Yusoff hadir ke Bukit Aman kira-kira jam 3 petang tadi, namun hanya mula menjalani ujian itu jam 4 petang berikutan pakar berkaitan memerlukan masa untuk membuat persiapan.

“Anak guam ditempatkan di sebuah bilik bersama tiga pakar, manakala saya berada di luar ketika ujian itu berlangsung.

“Kehadiran Muhammed Yusoff ke Bukit Aman, menunjukkan kesungguhannya, selain memberi kerjasama supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan lengkap,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Bukit Aman, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata, butiran lanjut termasuk jenis soalan dalam ujian itu, tidak boleh didedahkan kepada umum kerana perkara berkenaan masih dalam siasatan polis.

“Kita tidak dedahkan bentuk soalan ujian itu kecuali siasatan kes berkenaan sudah terbuka kepada umum.

“Saya tidak pasti bila laporan hasil ujian ini siap, dan sama ada Muhammed Yusoff akan dipanggil lagi untuk ujian sama juga terserah kepada pasukan siasatan,” katanya.

Ditanya jika Anwar perlu menjalani ujian sama, Mohamed Haniff berkata, ia terpulang kepada pasukan siasatan dan Presiden PKR itu sendiri. -WD MY