SHAH ALAM, 15 Mei – BURU…. Polis memburu seorang bekas tentera yang disyaki melarikan wang tunai RM2.6 juta dari bilik kebal sebuah syarikat kawalan keselamatan di Sungai Dua, Rawang, awal pagi semalam.

Suspek berusia 38 tahun itu bekerja sebagai pengurus cawangan di syarikat kawalan keselamatan terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Asisten Komisioner R Supramaniam, berkata suspek baru dua bulan bekerja sebagai pengurus cawangan syarikat itu.

“Polis sedang giat memburu suspek dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kes ini ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau dan kita percaya suspek masih berada dalam negara,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek yang datang ke premis syarikat berkenaan untuk menumpang tidur itu dikatakan melarikan wang berkenaan dengan menunggang motosikal MODENAS Kriss.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek didapati mengejutkan tiga pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu bagi memaklumkan pintu besi bilik kebal tidak berkunci sebelum mengacukan senapang ke arah mereka dan mengurung mereka di sebuah bilik berhampiran.

Suspek kemudian memasukkan wang berkenaan ke dalam sebuah beg sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Supramaniam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan rompakan bersenjata dan Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971. – WD MY