KUALA LUMPUR, 8 Mac – Sebanyak 23 kes penipuan pembelian pakej
umrah melalui internet direkodkan sejak Februari lepas sehingga kini, kata
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata mangsa penipuan bukan sahaja melibatkan golongan profesional,
tetapi juga penduduk di luar bandar yang terpedaya ditawarkan harga pakej umrah
yang rendah.

“Mereka yang tidak bertanggungjawab ini mengeksploitasi bakal jemaah umrah
melalui iklan yang menawarkan harga lebih rendah daripada harga lantai iaitu
RM4,900,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas program bersama penggiat industri
pelancongan (pengendali umrah) di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.

Beliau berkata lapan daripada kes itu dilaporkan kepada polis melibatkan
jumlah kerugian sebanyak RM101,480.

Manakala selebihnya dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan dan nilainya belum dapat dipastikan.

Mas Ermieyati menasihatkan orang ramai supaya memeriksa latar belakang
syarikat pengendali umrah dengan melayari laman web www.motac.gov.my atau
www.jawhar.gov.my/umrah untuk menyemak status syarikat serta senarai syarikat
yang telah disenarai hitam.

Katanya terdapat kira-kira 500 syarikat pengendali umrah yang berdaftar.

Dalam pada itu beliau berkata seramai 290,000 rakyat Malaysia dijangka
menunaikan umrah pada tahun ini. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY